Rabu, 16 Maret 2022

Baca Gratis Novel Titian Cinta Bab 1 Genre Romantis Full

Buat anda yang suka membaca novel khususnya Novel dengan genre romantis, sudah membaca Novel berjudul Titian Cinta belum? Tersedia Novel Titian Cinta Bab 1 gratis untuk anda. Novel ini bercerita tentang kisah cinta antara Rahadatul 'Aisy dan Umayr Harris yang penuh dengan ujian. Hingga akhirnya Aisy yang sedang mengandung pergi karena Umayr. Merasa bersalah dengan perbuatannya kepada Aisy dapatkah Umayr kembali membawanya pulang? yuk mari kita simak alur ceritanya dibawah ini.

Oh iya, disini kami menyediakan berbagai macam novel romantis yang dapat anda baca dengan gratis, untuk anda yang ingin membaca novel lengkap dengan genre lainnya, anda dapat mengunduh aplikasi novel yang cukup trend diantaranya Wattpad, Innovel, dan Novelaku.

Novel titian cinta bab 1 full episode

Novel Titian Cinta Bab 1

Matahari tegak memancarkan sinar. Cuaca yang baik petang itu dengan suhu hampir mencecah 27 darjah Celsius memudahkan tugas juruterbang penerbangan MH257 dari Heathrow, London mendaratkan pesawat di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. 

‘Aisy membetulkan duduk untuk menghilangkan lenguh yang mencengkam seluruh urat sendi. Perjalanan jauh yang ditempuh hampir 13 jam itu benar-benar memenatkan. Tali keledar keselamatan yang melilit di pinggang ditanggalkan sebaik isyarat memasang tali pinggang keledar dimatikan.

‘Aisy menjengah ke luar tingkap pesawat, membuang pandangan. Akhirnya dia kembali menjejakkan kaki di bumi Malaysia. Tanah tumpah darah yang telah lama ditinggalkan. Kembali kerana perjalanannya dalam menimba sekelumit ilmu di bumi asing telah pun selesai.

“Selamat pulang ke tanah air, Rahadatul ‘Aisy Hilmi.” Bisiknya perlahan pada diri sendiri. Sebuah keluhan berat meniti di bibir comel itu. Cukup menggambarkan hatinya yang sedang berperang hebat dengan pelbagai rasa.

Kelibat penumpang yang mula bergerak keluar dari perut pesawat dihantar dengan pandangan kosong. ‘Aisy masih pegun di kerusi. Berat terasa kakinya untuk turut mengorak langkah. Andai dia punya pilihan saat ini, dia lebih rela untuk terus berada di bumi England. Biarpun ada rindu yang bertamu di hati pada keluarga tercinta. Biarpun bukan mudah untuk mengharung hidup di negara orang seorang diri. Namun, dia lebih rela menempuh kesusahan itu daripada terpaksa merasai kesakitan tatkala mengingati segala kenangan pahit yang pernah ditinggalkan di sini. Bukan mudah untuk dia melupakan memori saat maruahnya dicarik-carik oleh seorang lelaki bergelar suami.

Perbezaan jarak sejauh 6557 batu seolah-olah membebaskan dirinya daripada buruan kenangan silam yang memeritkan. Membenarkannya untuk meraih sedikit rasa bahagia dengan kehidupan baru yang dijalani di bumi asing. Sekurang-kurangnya, kesibukan dengan kerja-kerja penyelidikan berjaya membuatkan dirinya tidak lagi dihambat bayangan duka semalam biarpun mungkin hanya untuk seketika cuma.

Dan kini, dia harus kembali setelah empat tahun dia melakar pengalaman di tempat orang. Dek terikat dengan janji, dia pulang ke tanah air untuk melaksanakan amanah mendidik anak bangsa, setelah segulung ijazah Doktor Falsafah berjaya diperolehi. Walaupun kepulangannya mungkin akan membuka ruang pada sebuah pertemuan. Pertemuan yang bisa melukakan kembali parut di hatinya sendiri. Namun, pilihan apakah yang dia ada?

Sehingga masa itu tiba dia perlu memperkemaskan hati. Menguatkan emosi. Tidak akan diizinkan dirinya kalah di hadapan lelaki itu berulang kali. Andai ada pertemuan lagi, biarlah saat itu dia sudah cukup kuat untuk bertahan menentang lelaki yang sangat berpengaruh itu. Demi sebuah hak yang perlu dituntut. Demi sebuah perhitungan yang ditinggalkan tanpa penyudah.

“Come on, Rahadatul ‘Aisy Hilmi”

Sekali lagi dia menyeru namanya sendiri. Menitipkan semangat dalam diri seraya cuba mengusir kebimbangan yang menjengah sanubari.

Keadaan perut pesawat yang sudah mula lengang memaksanya untuk bangun. Bagasi kecil yang disimpan di ruang atas dicapai. Dia menarik nafas dalam-dalam dan dilepaskan perlahan. Kepalanya didongakkan sedikit. Langkah kakinya diatur satu persatu menuju ke terminal ketibaan.

***

“Assalamualaikum...”

‘Aisy memalingkan wajahnya sebaik satu suara halus menyapanya. Imej gadis manis berbaju kurung moden terbias di pandangan mata. Pantas sebuah senyuman lebar terukir di bibir.

“Waalaikumussalam.” Salam dijawab perlahan. Tubuh kecil Sakeena dipeluk kemas, meleraikan rindu yang dipendam sekian lama.

Sakeena, teman yang paling rapat dengan ‘Aisy. Hubungan persahabatan yang telah terjalin sejak sedekad yang lalu meletakkan Sakeena sebagai teman yang paling dipercayai ‘Aisy. Setiap inci sejarah hidup ‘Aisy dipegang kemas Sakeena. Terlalu banyak perkara yang mereka kongsi bersama sehingga tiada rahsia yang wujud antara mereka berdua.

“Kau dah banyak berubah sekarang, ‘Aisy.” Tutur Sakeena sebaik pelukan dileraikan. Matanya tekun memerhati susuk tubuh ‘Aisy atas bawah. Pertambahan usia membuatkan wajah ‘Aisy tampak lebih matang dan berkarisma. Namun, entah kenapa dia dapat rasakan ada sesuatu yang kosong pada wajah itu. Meskipun senyuman lebar tidak lekang menghiasi bibir ‘Aisy.

“Mana ada berubahnya. Aku masih sama je macam dulu. Cuma lemak-lemak mungkin dah agak kurang menempel kat tubuh aku ni.”

‘Aisy tersengih menampakkan barisan giginya yang tersusun cantik. Suaranya sengaja diceriakan agar keresahan yang sedang bersarang di jiwa dapat disembunyikan. 

“Itulah yang buat aku hairan. Kau ni sebenarnya pergi belajar ke atau kau pergi sedut lemak kat sana?” Gurauan nakal Sakeena meledakkan tawa ‘Aisy.

“Tak ada maknanya aku nak buat kerja haram tu. Kat sana hari-hari aku ulang-alik ke universiti berjalan kaki. Makan pula tak menentu. Kadang-kadang tu balik dari universiti, badan dah penat lupa nak makan. Bantai tidur lagi syok. Sebab itulah agaknya berat aku susut.” Bersungguh-sungguh ‘Aisy menjelaskan. Kedudukan rumah sewanya dan universiti yang tidak jauh membuatkan dia lebih selesa memilih untuk berjalan kaki daripada menggunakan kenderaan awam. Orang kata banyak berjalan luas pandangan!

Sakeena semakin galak merenung temannya itu. Entah kenapa simpatinya tumpah setiap kali dia menatap wajah tenang itu.

“Betul ke ni? Bukan kurus sebab makan hati ke?” Soal Sakeena sengaja menduga perasaan ‘Aisy.
“Makan hati? Kau kan tahu aku tak makan organ-organ dalaman ni. Tak bagus untuk otak.” Balas ‘Aisy pura-pura tidak faham. Bukan sekarang masanya untuk dia berbicara tentang soal hati dan perasaan meskipun tiada rahsia antara dia dan Sakeena.

“Sakeena Salihin, you look gorgeous my dear.” Puji ‘Aisy mengalih topik perbualan. Kedua-dua belah bahu Sakeena diusap lembut. Seri yang jelas terpancar di raut wajah Sakeena cukup memberitahu yang temannya itu sedang meniti saat-saat bahagia bergelar tunangan orang.

“Puji aku ini ada makna ke? Macam nak mengelat je.” Tingkah Sakeena. Tidak terkesan langsung dengan pujian ‘Aisy. Dia yakin ‘Aisy sedang menyembunyikan perasaannya.

“Aku ikhlas lah. Bukan senang aku nak puji orang ni. Sekali aku puji memang aku benar-benar maksudkan kata-kata aku tu.” Bahu Sakeena dipaut mesra. Memang dia benar-benar ikhlas memaknakan kata pujian itu.

“Apa kata kita singgah food court. Selesa sikit nak borak-borak. Lagipun flight aku ke Kuala Terengganu pukul 2.00 petang nanti, banyak masa lagi ni.” Cadang ‘Aisy mula menyorong troli. Namun langkahnya terhenti apabila menyedari Sakeena masih tidak berganjak. Masih merenungnya tajam. Dia tahu Sakeena sedang cuba membaca isi hatinya.

“Jomlah, perut aku pun dah lapar ni. Kau tahulah makanan dalam flight tu macam mana. Aku dah rindu sangat nak makan nasi lemak, roti canai dan laksa Penang ni. Pekena teh tarik kaw kaw pun best juga ni.” Lengan Sakeena ditarik perlahan.

 “Kau ini dah berapa bulan tak makan ni? Selera mengalahkan anak jin.” Bulat mata Sakeena memandang wajah selamba ‘Aisy yang sedang tersengih nakal.

“Aku ini dah bertahun tau tak merasa masakan Malaysia. Makan tahun tau bukan bulan. Kalau masak kat sana pun, rasa dia tak sama dengan makan di negara sendiri. Selalu ada je bahan yang kurang. Jomlah, perut aku dah berdondang sayang ni.” Beria-ia ‘Aisy mengajak Sakeena sambil menepuk-nepuk perutnya.

“Yalah..yalah..” Sakeena mengeluh lemah. Akhirnya dia mengalah. Mereka beriringan menuju ke medan selera yang berada di aras dua.

‘Aisy mengerling jam di pergelangan tangan kirinya. Masih berbaki tiga jam lagi sebelum penerbangan domestik ke kampung halamannya. Emak dan ayah pasti sedang menunggu kepulangannya. Begitu juga Rizal dan Sumayyah, dua orang adik kesayangannya.

Tersungging senyuman nipis di bibir ‘Aisy tatkala fikirannya mengingati setiap wajah ahli keluarga yang dikasihinya. Masih terngiang-ngiang suara ceria Haji Hilmi dan Hajah Maryam ketika dia memaklumkan kepulangannya ke tanah air. Sudah pasti dia juga tidak sabar untuk menatap wajah kedua orang tuanya. Empat tahun dia menyulam rindu. Bukannya dalam tempoh tersebut dia langsung tidak mempunyai peluang untuk pulang ke Malaysia. Namun, dia tiada kekuatan. Dia memerlukan masa dan ruang untuk merawat luka di hatinya.

Novel Titian Cinta Bab 1 Selesai

Setelah membaca detail cerita Novel Titian Cinta Bab 1, Bagaimana? seru tidak? Makin penasaran dengan cerita selanjutnya kan? Ikuti terus website kami untuk mendapatkan update terbaru dari Novel pilihan kalian, atau Novel romantis terbaru lainnya.

Melalui link website ini, anda juga dapat sharing ke sosial media untuk sesama pecinta novel lainnya.

Untuk Baca episode selanjutnya dari Novel Titian Cinta pada link dibawah ya. :) jangan lupa share ya biar mimin lebih rajin lagi updatenya!





Selanjutnya -- Novel Titian Cinta Bab 2

Sumber:

Judul : Titian Cinta
Penulis : Ridhya Iman
Web : ridhyaiman.blogspot.com


Dapatkan update Novel Terbaru pilihan dari kita dan sudah aku susun daftar lengkap novelnya ya free buat kalian yang suka baca. Mari bergabung di Grup Telegram "Novel Update", caranya klik link https://t.me/novelkupdate, kemudian join. Anda harus install aplikasi Telegram terlebih dulu di ponsel.

Baca Juga Novel Lainnya Dibawah yang Pastinya Seru Juga :

Bab Selanjutnya
Bab Sebelumnya

0 komentar: